Isnin, 30 Mac 2009

Relevankah aku dihatimu (Bab 2)

Bab 2


Keesokan harinya, aku bangun lebih awal daripada biasa. Sebaik sahaja aku terjaga, terus aku berdoa.

"Ya Allah, berikanlah keberkatan kepada umatku yang berpagi-pagi." Aku berhenti seketika sebelum menyambung semula. "Segala puji bagi Allah yang menghidupkan setelah mematikanku, dan kepada-Nyalah tempat kembali. " Aku meraup wajah dengan kedua belah telapak tanganku.

Begitulah rutinku setiap pagi. Sejak dari kecil aku dididik supaya berdoa sebaik sahaja terjaga dari tidur. Kita sedia maklum yang tidur adalah nikmat yang Allah berikan kepada kita. Justeru itu kita perlu mensyukurinya. Maka sebaik sahaja kita bangun pagi hendaklah kita mengucapkan doa sebagai tanda kesukuran kita kepada yang memberikan nikmat itu.

Aku melompat keluar dari katil usangku lantas melakukan sedikit regangan badan. Setelah itu aku mencapai tuala lalu pergi ke bilik mandi. Elok saja aku sampai ayahku keluar dari bilik mandi.

Setelah menyumbangkan dua, tiga buah lagu dan melakonkan beberapa babak ringkas petikan dari filem yang terkini, lima minit kemudian aku keluar dari bilik mandi dengan wajah yang segar-bugar. Adik lelakiku, Anas sudah terpacak di luar pintu dengan hanya berkain pelekat dan berselempangkan tuala di bahu menanti gilirannya untuk bersiram.

"Syah! Siap cepat! Boleh solat sama-sama." Ayah aku melaung dari ruang tamu.

Cepat-cepat aku masuk ke dalam bilik. Menyarung kain biru tua dan t-shirt biasa. Kemudian aku menyarung kain telekung dan mencapai sejadah. Aku segera ke ruang tamu. Di situ mak dan ayah duduk berteleku di atas sejadah menantiku.

Ayah bangun melaungkan azan dan iqamat. Kemudian dia mengimamkan solat subuh pada Jumaat itu. Setelah memberi salam, kami berwirid dan akhirnya menadah tangan memanjatkan doa ke hadrat Ilahi. Minta ampuni segala dosa, diiterangkan hati, diimurahkan rezeki dan sebagainya. Amin...

Lantas kukucup tangan mak dan ayah. Rasa tenang dan damai menyelubungi jiwa ini. Moga-moga mereka memaafkan segala kesalahanku.

Aku minta diri kembali ke bilik. Wah! Adik perempuanku masih dibuai mimpi. Aku menggoncangkan jari kakinya beberapa kali. Tiada menunjukkan tanda-tanda dia terjaga.

Aku terdengar bunyi periuk belanga di dapur . Mesti mak! Aku merajinkan diri ke dapur. Membantu apa yang patut. Segan pula membiarkan mak kelam-kabut di dapur seorang.

"Kita masak nasi goreng ye."

Aku mengangguk. Aku membawa keluar ikan bilis dan beberapa jenis sayur-sayuran dari peti sejuk. Tangan aku pantas mencapai pisau dan memotong sayur-sayuran tadi. Selepas itu aku gaul nasi lebihan semalam dengan garam secukup rasa.

Nasi goreng sudah siap dimasak. Masih terlalu awal jika mahu bersarapan. Jadi aku mengambil keputusan mencuri masa yang ada untuk membuat sedikit ulangkaji. Waktu lepas subuh begini otak masih segar sebab baru bangun dari tidur.

Beberapa ketika kemudian, mak mengajak aku bersarapan. Kami sekeluarga duduk semeja. Anas membaca doa makan. Yang lain mengaminkan.

Setelah selesai makan, aku bersiap-siap untuk pergi ke sekolah. Jam hampir menunjukkan jam 7 pagi. Mak dan ayah kehairanan melihat kerajinan aku hari ini. Aku hanya tersengih. Aku mengucup tangan mak dan ayah sebelum bergerak ke sekolah.

Aku menyanyi-nyanyi kecil. Indah sungguh pagi Jumaat ini. Cahaya mentari menyuluh alam buana. Burung-burung berkicau riang. Embun di rumput masih tak hilang.

Tidak sampai lima minit aku sudahpun sampai ke dalam kawasan sekolah. Aku masuk melalui pintu pagar belakang yang berhampiran dengan tempat letak basikal. Sedang aku berjalan, tiba-tiba...

"Assalamualaikum."

"Waalaikumsalam." Aku segera menoleh.

Firdaus! cetusku dalam hati. Hati aku berbunga riang. Bestnya! Pagi-pagi dah dapat menatap wajah manis dia. Langkah kanan aku hari ini.

"Nurul bertugas ke hari ini?" Firdaus menyoal. Dia tahu gadis di hadapannya ini seorang pengawas sekolah berdasarkan warna uniform yang dipakainya.

"Nurul?" Aku agak terkejut. Sebelum ini tak pernah sesiapapun memanggil aku dengan nama itu. Terasa ayu pula.

"Oh, tak. Saya bertugas hari Selasa dan Khamis."
Dia menggangguk. Sebuah senyuman terukir di bibirnya. Aku membalas. Kemudian masing-masing menyepi.

"Okey, Nurul. Saya minta diri dulu ya. Bye." Akhirnya dia bersuara.

"Okey. Bye."

Firdaus melangkah ke kelasnya yang tidak jauh dari situ. Aku melintas parkir kereta guru. Sebaik sahaja berjalan di tepi blok pelajar Tingkatan Enam, aku tiba di kantin sekolah. Kemudian berjalan di bawah laluan beratap di bangunan utama sekolah yang bertentangan dengan dataran perhimpunan.

Tugas yang dimaksudkan oleh Firdaus tadi ialah menjadi jaga pintu pagar sekolah dan peronda kawasan sekolah. Kami akan dibahagikan kepada lima kumpulan bersamaan lima hari persekolahan. Setiap kumpulan dikehendaki melaksanakan tiga tugas utama.

Yang pertama, mengawasi pelajar yang keluar masuk ke kawasan sekolah. Ada tiga pintu pagar di sekolah aku ini iaitu pintu pagar utama di hadapan, pintu berhampiran dengan tempat letak basikal dan satu lagi pintu kecil yang berdekatan dengan Taman Hijau. Aku cukup tak suka bila ditugaskan ke pagar di Taman Hijau tu. Banyak nyamuk!!

Di antara tugas seorang 'jaga' ialah memastikan setiap pelajar mematuhi kod etika berpakaian yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Setiap pelajar wajib memakai stokin putih, tag nama di sebelah kiri. Kemudian, yang lelaki mesti berambut pendek tidak memcecah bahu dan bertali pinggang. Pelajar perempuan pula tidak dibenarkan memakai barang kemas ke sekolah. Yang tidak bertudung dan berambut panjang, dikehendaki mengikatnya dengan pengikat rambut yg berwarna gelap sahaja. Pintu pagar sekolah akan ditutup pada jam 7.30 pagi. Oleh itu, pelajar yang datang lewat akan diberi amaran dan dicatat namanya.

Tugas 'peronda' pula ialah meronda kawasan sekolah semasa perhimpunan berlangsung. Kami akan melawat kehormat ke kelas-kelas dan setiap penjuru sekolah. Pelajar-pelajar yang didapati cuba escape perhimpunan pagi akan diberi amaran dan akan di'escort' ke dataran perhimpunan.

Akhirnya aku sampai ke kelas aku yang best, 3 Anggerik. Kawan-kawanku yang tinggal di Gopeng dan Malim Nawar sudah lama sampai. Kelihatan beberapa orang sedang membersihkan kelas. Ada yang mengelap tingkap, ada yang menyapu sampah dan ada yang membetulkan kedudukan kerusi meja.

"Assaamualaikum." Aku masuk dari pintu belakang.

"Syah? Apa pasal kau awal hari ni? Duty ke?" tanya Diana, budak Gopeng yang juga pengawas sekolah sepertiku.

"Saja je awal hari ni. Mood tengah baik." Aku mengangkat kening sambil mengibas-ngibas tangan berlagak seperti mak datin.

Diana terkekeh-kekeh melihat gelagat aku itu.

"Pelik bin ajab. Kalau bukan hari kau duty, lima minit sebelum loceng berbunyi baru nampak muka. Ermmm... pagi ni muka ko nampak terlebih ceria. Haa... ini mesti ada apa-apa kan." Aisyah cuba memasang perangkap.

"Ala.. Macam tak pernah-pernah pula kita datang awal. Korang ni takde kerja lain ke. Pagi-pagi dah usik orang." Aku mencebik bibir.

Sejak dulu lagi, aku membahaskan diri aku 'kita' apabila berbual dengan orang. Bukannya 'saya' atau 'aku'. Memang ramai yang keliru pada awalnya. Kalau yang nakal tu, akan mengajuk caraku bercakap. Lama-kelamaan mereka yang rapat denganku dapat membezakannya.

"Syah! Kau dah siap latihan matematik yang Cikgu Hasan beri semalam. Meh aku nak bandingkan dengan jawapan aku sat." Azizah berdiri di sebelahku. Tangannya ada sebatang pensel 2B.

"Nah! Kalau ada jawapan kita yang pelik-pelik, tolong bulatkan ye. Nanti kita nak semak semula." Aku menyerahkan kertas latihan matematik semalam pada Azizah.

"Okey."

"Opss! Beri laluan. Beri laluan. Orang nak sapu sampah."

Aku bingkas bangun. Azizah kembali ke tempat duduknya.

"Sori Di. Tak perasan."ujarku.

Diana membalas mengenyit mata kirinya. Setelah tugasnya selesai, dia beralih ke meja lain pula.

"Terima kasih, Cik Diana." Sengaja aku memanggilnya begitu.

"Sama-sama, Cik Akasyah." Diana menjuihkan bibirnya.

Ketawaku terburai. Kawan-kawan yang turut mendengar perbualan kami pun turut sama ketawa.

"Lagi lima minit loceng nak berbunyi. Jom pergi berbaris sekarang." Fizah, penolong ketua kelas kami mengajak semua yang ada beredar ke dataran.

Aku dan yang lain-lain menurut saja. Aku jalan beriringan dengan Diana. Kami melintasi tangga yang menghubungkan pusat sumber yang berada di tingkat atas. Sekumpulan pelajar lelaki lalu di sebelah kami. Aku dan Diana memperlahankan langkah.

Bila aku menoleh ke arah kumpulan pelajar tersebut, aku terperasan ada seseorang juga sedang memandang ke arah kami berdua. Siapa lagi kalau bukan Firdaus, hero pengawas pusat sumberku. Aku dan dia sekadar berbalas senyuman.

Waktu rehat pada hari itu, sekali lagi aku dipertemukan dengan dirinya. Waktu itu aku sedang berbaris untuk membeli minuman. Sebaik sahaja tiba giliranku,

"Kak, air oren dua!" Serentak itu lelaki di sebelahku yang memesan minuman yang sama dengan menggunakan ayat yang sama.

Aku segera menoleh. Sedikit terkejut. Kemudian tawa kecil meletus dari mulut masing-masing. Hanya kami yang mendengarnya. Akhirnya aku tersenyum jua apabila melihat Firdaus juga tersenyum kepadaku.
Saat itu aku dapat rasakan debaran di hati ini. Cepat-cepat aku matikan angan-angan indah yang mula bermain di fikiran.

Indahnya waktu itu...

1 ulasan:

tough lady :) berkata...

aku bace crite ini tym tingkatan bape tah...suke2 =)