Mmm... Hari sabtu lepas, mase tgh YM, login la seorang hamba Allah nih. Setelah bertanya khabar setelah lama tidak bersua, beliau pun menanyakan satu soalan cepumas. Killing question gak la. Beliau berkata begini, " Aku dah baca blog hg. Jiwang sungguh hg ni... Tak ubah cam dulu." Aku pun jawab la.. "Aku masih seperti dulu. Menatang tu sbhgn dr jiwa aku." Tu ok lagik. Lalu keluarlah killng question dari beliau. "Hg dh ada awek eh? Lain mcm je aku bc blog hg." Gulpp.. Soalan tu mmbuatkan aku berfikir ada la dlm 10 minit. Ntah berapa kali ntah hamba Allah tu menge'buzz'. Pastu aku pun memberikan jwpn yg ntah jujur ke tak. Aku kate xde lagik. Beliau pun berkata, "Baguslah. Aku harap hg still cam dulu lagik. Ceria. Hepi go laki bini. Aku skang dah insaf. Nasib baik ada orang bimbing aku. Aku jeles sbnrnya tgk hang dulu. Takde mslah.... bla...bla...bla... Ada la dalam 15 minit lbh beliau menceramahi daku. Pastu dia post ayat nih kat aku. Agak menginsafkan la kalo baca.. huhu...
Assalammualaikum.
Saya terpanggil untuk menulis artikel ini kerana saya beranggapan perkara ini telah menjadi suatu adat yang perlu dilalui oleh golongan muda, iaitu ber’coupling’.
Setengah orang memberikan ia nama ‘bertenet’, setengahnya ‘dating’, setengahnya ‘couple’, namun tiada seorang pun menamakan ia berdua-duaan, berkhalwat atau ’saya nak keluar jap, nak buat maksiat dengan girlfriend atau pakwe saya’.
Telah menjadi kebiasaan, melihat bukan setakat di taman bunga, malah di shopping complex, kedai mamak, didalam library, malah ditepi-tepi jalan bergombol-gombol pasangan-pasangan umat Islam (melayu) yang sedang berpegang-pegangan tangan, malah lebih sedih, berpeluk-pelukan tanpa ingat (atau takut) kepada Allah s.w.t akan Perbuatan haram mereka itu.
Lebih menyedihkan, terdapat pasangan yang membuat maksiat itu adalah orang yang bertudung, malah ramai juga yang dilihatnya orang bertudung membuat perkara ini. Apalagi yang tidak bertudung. Tetapi perlu diingatkan, apa yang saya katakan ialah orang yang ‘bertudung’, bukannya orang yang menutup aurat.Kerana bertudung masih belum boleh dikatakan menutup aurat. Malah tidak tutup aurat pun! Jika difikir pendek, kita berasa agak bersyukur melihat trend umat Islam melayu sudah berjinak-jinak dengan tudung, tapi hanyalah sebagai fesyen.
Pakaian bajunya masih ketat, dan ada yang berT-shirt lengan pendek di tambah dengan seluarnya yang menampakkan bentuk kaki. Umat melayu mesti membuka sedikit pemikiran tentang aurat ini.
Tudung bukanlah pelengkap kepada pakaian menutup aurat, tetapi lebih dari itu. Pakaiannya mestilah labuh dan longgar, tidak menampakkan bentuk badan (serta tidak jarang dan bercorak). Ini bermakna, adakah dengan berbaju kebarung itu haram? Fikir-fikirkan lah.
Berbalik kepada isu bercouple ini, umat melayu telah dipesongkan dengan ‘konsep’ mengenali atau bercinta dahulu baru berkahwin. Jika tidak keluar bersama-sama, masakan kita boleh mengenal pasangan yang akan bakal menjadi suami atau isteri kita?
Adakah untuk mengenali bakal pasangan kita nanti, atau lebih cantik jika ditulis…. adakah untuk menuju kepada kebaikan (kahwin) perlu membuat perkara yang HARAM terlebih dahulu?
Adakah perlu keluar bersama berdua-duaan ke kedai makan bersama-sama, menonton wayang bersama-sama, study di library bersama perlu dilakukan agar bila berkahwin nanti rumahtangga akan selamat walafiat?
Cinta sebelum kahwin tidak salah dan bercinta selepas kahwin pun tiada salahnya. Tetapi yang bermasaalahnya ialah membuat perkara haram sebelum berkahwin. Umat Islam Melayu mesti berfikir, mengapa Allah berfirman :
“Janganlah kamu mendekati zina…”,
Bukannya “Janganlah kamu berzina..” (Tetapi untuk mendekatinya pun dilarang oleh Allah s.w.t) Ini sebagai arahan daripada Allah s.w.t kepada hambaNya.
Seringkali terdengar suara janggal dari pasangan couple ini, apabila ditegur, mereka akan mengatakan mereka melakukan ini hanya untuk mengenali pasangannya sesuai atau tidak. Memang elok mengenali pasangan masing-masing sebelum berkahwin, tetapi berdua-duaan bukanlah caranya.
Kaum hawa sepatutnya membuka sedikit fikiran mereka dengan iman. Jika mereka mengenali seseorang jejaka yang dicintainya, dan bila diajak untuk keluar bersama, jejaka itu dengan seronoknya mengiyakan untuk keluar bersama, adakah sihawa ini berpendapat lelaki ini adalah lelaki yang sesuai untuk dirinya kerana menganggap lelaki itu suka akannya.
Ataupun diubahkan sedikit pemikirannya dengan iman, mengatakan, “Belum berkahwin pun si hawa diajak membuat dosa, apakan lagi bila sudah berkahwin.” Adakah si lelaki tadi boleh membimbingnya untuk menuju ke syurga Allah?
Jangan menganggap cinta itu adalah berdasarkan kepada suka sama suka.
Cinta yang paling utama adalah cinta kepada Allah s.w.t.
Jika selepas seronok bercouple selama setahun, baru si lelaki melamar akan sihawa, kekasihnya untuk berkahwin, dan berkahwinlah mereka, dan beranak pinaklah mereka, adakah perkahwinan mereka itu diberkati Allah kerana setelah berkeluarga pun masih tidak insaf akan perbuatan mereka sebelum kahwin.
Mari kita fikirkan, contohnya bila sepasang suami isteri, pergi berkelah di port dickson, kemudian isterinya ternampak pokok yang rendang lalu dikata kepada suaminya :
“abang, nampak pokok tu, tempat kita bercouple dulu, romantiknya ya bang waktu tu,”
jawab si suami : “betulle, seronoknya pergi ke port dickson nie, ingat peristiwa masa bujang dulu, ye yang,…”
Tiada langsung perkataan astaghfirullah, kita telah buat dosa masa sebelum kahwin dulu. Tiada langsung penyesalan.
Tidak malukah kita dengan Allah?
Jika kita ada masalah keluarga, kita meminta pertolongan-Nya menadah tangan, padahal kita masih ada hutang pada Allah s.w.t. Dosa kita yang lepas, tetapi masih belum bertaubat walaupun kita telah tidak melakukannya iaitu tiada penyesalan akan dosa kita bercouple dahulu.
Oleh itu, pasangan suami isteri mestilah berfikir 2-3 kali jika ada sesuatu yang tidak kena pada rumahtangga masing-masing. Dahulu masa bujang seronok bercinta, tetapi selepas agak lama berkahwin, sudah menampakkan permasalahan timbul.
Puncanya, bercouple telah menjadi satu dadah kepada orang yang mencari pasangan. Dadah yang haram sejelas-jelas haram telah dihalalkan oleh nafsu pada jiwa yang mentah kerana telah dianggap kebiasaan oleh masyarakat sehingga ibubapa pun tidak kisah jika anaknya keluar dengan tunang masing-masing berdua-duan didalam kereta untuk bercouple (atau hakikatnya - untuk berkhalwat). Apalagi yang baru berkawan.
Oleh itu, bagaimanakah Allah hendak memenangkan umat Islam di Malaysia dan di seluruh dunia, padahal umatnya penuh dengan dosa.
Jika kita sedang bercouple, cubalah ingat akan Allah, jika tidak boleh ingat juga, cubalah ingatkan umat Islam di Palestin yang sentiasa mati dibunuh tiap-tiap hari. Umat Islam di Afghanistan, Chechenya, Kashmir, Mindanao & lain-lain.
Jangan kerana dosa kita, menyebabkan doa ulama kita tidak dimakbulkan Allah, kerana ulama itu lupa untuk menegur kita, janganlah kerana dosa kita, Islam dihina, umat Islam dibunuh, masyarakat Islam dilihat seperti bakul sampah, lebih-lebih lagi kaum hawa yang bertudung (walau masih belum menutup aurat).
Bangsa lain akan menganggap orang Islam pun sama perangainya dengan orang bukan Islam.
Janganlah kerana perbuatan bercouple kita ini menyebabkan kehancuran Islam di negara kita sendiri dan seterusnya diseluruh dunia.
Fikir-fikirkan, wallahualam.
Dari Abdullah bin ‘Amr r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda : “ Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat”
Sebelum berpisah, beliau sempat bergurau."Nanti hg jgn lupa jmput aku aa.. Nanti aku jadik pengapit." Cet. Sempt gurau lagik tu. mmm.. itulah alam. ibarat roda. kadang-kadang kat atas, kadang-kadang kat bawah. moga ilmu yang beliau miliki skng mnjd bntg hidup yng ampuh dan moga2 tuhan mengampunkan dosanya pada masa silam. Rock tetap rock. Jiwang tetap layan...
1 ulasan:
Semoga kita jauh dari kemurkaan Allah. Jauhilah kami dari melakukan perkara-perkara yang dbenci olehMu.. Amiin..
Catat Ulasan