April 1999
Aku mendongak ke langit. Aku lihat kepulan awan-awan hitam mula melitupi ruang angkasa padang bola jaring bumi SERATAS yang tercinta. Ah. mungkinkah akan...
"Satu, dua, tiga..."
Sebaik sahaja kiraan tiga aku tamat, hujan gerimis dengan malu-malunya turun dari langit. Setitik demi setitik... dan akhirnya ribuan mungkin jutaan titik-titik hujan yang keluar dari perut awan-awan yang sarat mengandungkan wap-wap air.
Aku tersengih. Kebetulan ler pulak. Entah mengapa sejak dua menjak ini aku rasa aku telah menjadi peramal kaji cuaca tidak bertauliah yang berjaya. Berkat pemerhatian yang berterusan ke atas perubahan dan bentuk-bentuk awan, angin dan sebagainya, ramalan aku hampir benar belaka. Tidak sia-sia ilmu geografi dan sains yang dipelajari sewaktu di sekolah menengah rendah dulu.
Aku menebarkan pandangan ke padang bola jaring ini. Ternyata hujan yang kian menggila tidak melunturkan semangat penyokong kedua-dua belah pasukan untuk terus setia menyaksikan perlawanan pada separuh masa kedua pula. Ada di antara mereka berteduh di bawah khemah yang disediakan dan ada juga yang berpayung. Kain-kain rentang masih terpacak walaupun telah basah kuyup ditimpa hujan.
Tiba-tiba aku rasa fikiran ini begitu serabut macam kabel elektrik yang berselirat. Mungkin kerana terlalu memikirkan prestasi pasukan aku pada separuh masa pertama tadi yang agak kurang memberangsangkan.
Lontaran bola tidak begitu kemas dan lancar hinggakan senang saja dipintas oleh pihak lawan. Wani, goal shooter (GS) juga tidak memberikan persembahan seperti yang diharapkan. Jaringan `sipi-sipi nak masuk` dan `golek-golek atas jaring` si Wani itu membuatkan hati aku berbulu. Ishh budak ni. Kalo iya pun, aim lah betul-betul! Alahai Wani...
"Akasyah, are you ok girl?" sapa satu suara dari belakangku.
Aku tidak menjawab. Bukan kerana Bahasa Inggeris aku lemah. Cuma aku malas melayan pertanyaan dari sesiapa waktu ini. Sebagai pemain tengah atau lebih dikenali sebagai `center`, aku perlu bijak memainkan peranan aku selepas ini. Strategi... Strategi... Come on Akasyah! Think!
Bagaimana pasukan lawan boleh bermain begitu lincah dan bertenaga pada petang ini? Setahu aku, mereka tidaklah sehebat mana. Selama ini pasukan itu boleh disiflikasikan sebagai pasukan `biasa-biasa aja` atau lebih tepat lagi pasukan belasahan. Ops! Bukan maksudku hendak memperkecilkan kemampuan pihak lawan. Mungkin mereka telah berjaya menemui formula luar biasa yang membuatkan aku sendiri tercungap-cungap menjaga pemain tengah mereka. Tak padan dengan kecil tapi macam lipas kudung. Ligat betul. Atau aku sendiri sudah pancit!
Aku bangun untuk membetulkan urat-urat yang mula terasa sengal. Aik! Orang itu masih ada rupanya. Dia memerhatikan gerak-geriku. Kenapa ya? Ah, biarkanlah luncai terjun dengan labu-labunya. Biarlah orang itu meng`usya` aku. Tidak luak sedikit pun. Kepala yang tidak gatal digaru berkali-kali.
Eh! Mengapa pula pandangan aku berpinar-pinar? Aku tidak dapat melihat wajah orang menyapa aku tadi dengan jelas. Mungkin mata aku juga perlukan rehat. Lalu aku pejamkan mata sebentar sambil itu tangan kananku memicit lembut dahi yang terasa berat.
Aku mengimbas kembali perlawanan yang kami tempuhi sebentar tadi. Macam pernah aku lihat corak permainan pasukan itu. Tapi di mana dan bila?
Februari 1997
"Akasyah... Kalau kamu fikir kamu sudah bergelar pemain terbaik negeri, kamu tidak tidak perlu turun latihan. Kamu sudah silap. Kamu..."
Maka bermulalah sesi bebel-membebel Puan Looi, jurulatih pasukan bola jaring sekolah kami. Alasan aku untuk diberi pelepasan dari menjalani latihan setiap petang membuatkan mulut Puan Looi yang comel itu mengomel pagi ini. Gelombang suaranya memberi tekanan hebat ke atas gegendang telingaku.
Nak tak nak aku tadahkan jua cuping telinga mendengar setiap butiran katanya. Namun satu pun tidak melekat di fikiran aku. Seperti pepatah melayu, masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Sepuluh minit kemudian Puan Looi melepaskan aku pergi. Dengan penuh sopan-santun, aku pun keluar dari bilik guru tersebut.
Aku memandang jam tangan. Sudah 10:30 pagi rupanya. Cis! Habis masa rehat aku. Dari semalam aku sudah bercadang untuk memulangkan sebuah novel yang kupinjam sejak dua minggu yang lepas. Nampak gayanya aku kena bayar denda lagi kali ini. Lewat sehari 20 sen! Kayalah Pusat Sumber Sekolah jika ada sepuluh orang lagi macam aku.
Aku dapat bayangkan senyuman Aidid, pengawas pusat sumber bila menerima ufti dari aku nanti. Bulan lepas dengan penuh bergaya Aidid mengabadikan nama aku dalam buku log yang tertulis 'LEWAT'. Muka seposen yang sengaja kubuat tidak sedikit pun melembutkan hatinya. Malah dia pula buat aku makin sakit hati dan bertambah meluat!
"Nurul Akasyah Binti Othman, kan?" tanya Aidid sambil tersengih-sengih macam kerang busuk.
"Ermm.." jawabku ringkas. Malas nak melayan lelaki yang satu ini. Cepat-cepat aku keluarkan beberapa keping duit syiling dari poket baju kurungku.
"Berapa juta?"
"Sejuta je," balasnya masih tersenyum kambing.
Kalau ada pertandingan 'Sengih 24 jam' di sekolah ini gerenti mamat ni boleh menang punya. Sememangnya Aidid terkenal dengan jolokan 'Mat Sengih'. Dia pun jenis happy go lucky. Aku tak pernah melihat dia bermuram durja. Apalagi marah-marah orang. Pendek kata dia ini sentiasa cool dan ceria.
Tanpa membuang masa, aku meletakkan duit syiling emas RM 1 di atas kaunter lalu beredar dari situ.
Itu kes bulan lepas. Kali ini berapa pula jumlah wang caruman aku dalam akuan Pusat Sumber. Alahai Akasyah! Sejak akhir-akhir ini virus pelupa kau makin menjadi-jadi pula. Bikin poket kering saja. Petang nanti kau mesti pulangkan novel itu, Kalau tidak, buku 'LEWAT' itu akan penuh dengan nama kau seorang saja.
Puan Looi pun satu hal. Asyik nak marah aku saja. Aku tahu dia sedang berbadan dua sekarang. Tapi janganlah moody memanjang. Angin tak ada, ribut tak ada, aku dapat lecture free hari ini. Entah-entah dia mengandungkan anak perempuan kot. Orang tua-tua kata, kalau orang pregnant marah-marah itu tandanya mengandung anak perempuan. Sejauh mana kebenarannya aku sendiri tidak pasti.
Yang Berbahagia Datin Seri Looi Yee Peng yang patik sayang! Untuk apa patik meredah panas dan hujan, berlatih separuh mati, setelah patik berjaya menyandang gelaran 'Pemain Terbaik Negeri Bawah 15 Tahun'. Patik sendiri mahu berehat setelah penat berhempas-pulas mengerah kudrat patik selama ini sukan yang patik cintai ini.
Sudah tiba masanya patik berehat buat seketika. Sekarang giliran pemain-pemain baru pula berlatih di bawah tunjuk ajar Yang Berbahagia Datin Seri yang bengis. Patik tidak bermaksud hendak bermegah-megah dengan gelaran yang baru disandang. Sebaliknya patik hanya mahu menumpukan lebih perhatian terhadap bidang akademik pula. Al-maklum sajalah... dalam masa beberapa purnama lagi patik dan rakan-rakan pelajar Tingkatan 3 akan menghadapi peperiksaan besar Penilaian Menengah Rendah (PMR). Jadi itulah menjadi keutamaan patik sekarang.
Aku tidak sanggup diperli oleh ayah. Asyik benar dengan bola jaring sampai pelajaranku seolah-olah dipinggirkan. Katanya, masa aku lebih banyak terloncat-loncat di padang daripada mengadap buku pelajaran.
Pada aku semua itu tidak benar. Selama ini aku tidak pernah sama sekali mengabaikan pelajaran aku walau sesibuk mana aku dengan bola jaringku. Aku akan cuba pastikan kedua-dua seiring dan berjaya.
Minat terhadap bola jaring telah berputik sejak dari bangku sekolah rendah lagi. Kalau tidak silap perkiraan, waktu itu aku masih dalam tahun tiga. Segalanya bermula dari pelawaan Cikgu Fariza yang merupakan guru Pendidikan Jasmani kelas aku.
Seperti kanak-kanak lain yang seusia denganku, aku boleh dikategorikan sebagai seorang yang lincah. Barangkali kelincahan aku itu menarik minat Cikgu Fariza untuk menyerapkan aku ke dalam pasukan bola jaring sekolah. Bermula sebagai pemain simpanan kemudian aku tersenarai antara tujuh pemain utama.
Aku tersenyum sendiri apabila mengenangkan kembali zaman kanak-kanak yang telah aku tinggalkan. Kadangkala teringin kembali ke zaman itu. Tidak perlu fikirkan tentang tanggungjawab dan sebagainya. Pada aku, kehidupan sebagai kanak-kanak penuh dengan adventure. Banyak kenangan manis yang tercipta. Lompat getah, main masak-masak, main cikgu-cikgu, polis sentri, batu serembam, ting-ting, aci kejar dan banyak lagi permainan pada zaman itu. Agaknya 10, 20 tahun akan datang masih wujudkah permainan sedemikian?
Seperti yang dirancang, aku pergi ke Pusat Sumber Sekolah selepas tamat waktu persekolahan untuk hari itu. Pintu utama Pusat Sumber aku buka. Aku menjenguk ke arah kaunter 'Pemulangan dan Peminjaman Buku'. Tiada siapa di situ. Nampaknya Mat Sengih tak on duty petang ini.
Aku melangkah masuk perlahan-lahan. Waktu begini tak ramai sangat orang. Tentu saja pelajar-pelajar lain terus pulang mencari periuk nasi di dapur rumah masing-masing. Perutku juga sudah berbunyi minta diisi. Aku segera memegangnya dengan harapan ia akan berhenti dari mendendangkan irama yang sumbang. Sabar sikit ye sayang!
Langkah kuhalakan ke hadapan kaunter yang tidak jauh dari pintu utama tadi. Aku berdiri di situ. Jari-jemariku yang mulus mengetuk-ngetuk meja kaunter sementara mataku liar mencari kelibat pengawas yang bertugas.
"Ermm... awak nak pulangkan buku ke?" sapa satu suara yang entah dari mana.
"Ya," jawab aku sedikit terkejut. Mata aku tercari-cari tuan empunya diri.
Tiba-tiba muncul seorang lelaki dari meja kaunter. Pada tika dan saat itu rasa nak terjojol biji mata apabila menatap wajahnya yang cukup sempurna pada mata aku. Sempat aku membetulkan tudung yang dirasakan sudah senget sedikit.
Aku meneliti lelaki itu dari atas ke bawah. Kagum dengan wajah yang dimilikinya dan juga cara penampilannya yang berkarisma. Biarpun sekadar memakai uniform seperti pengawas pusat sumber yang lain, ketampanannya menjadi bonus untuk kelihatan lebih menonjol daripada orang lain.
Agaknya dialah pengawas baru yang digembar-gemburkan sejak kebelakangan ini. Kecoh satu sekolah pasal pelajar Tingkatan 4 yang baru bertukar ke sekolah kami. Wajahnya dikatakan persis Yusri KRU. Dengar-dengar cerita, dia anak saudara kepada guru disiplin kami, Cikgu Faizal. Nampak gayanya Cikgu Faizal juga bakal menjadi bapa saudara aku pula 10 tahun akan datang.
"Aaa..." Aku cuba menyatakan sesuatu. Ternyata aku masih terkejut dengan kehadirannya pengawas baru itu. Entah mengapa lidah aku kelu saat itu. Hanya tangan aku yang pantas bertindak. Novel yang aku pinjam dulu sudahpun berpindah tangan.
"Nama awak?" tanya sambil tersenyum simpul.
Aku terpana buat kali kedua. Aku menarik nafas panjang, cuba mengumpul semangat untuk melontarkan suara.
"Nurul Akasyah!" sahut satu suara yang cukup aku kenali.
Baru saja nak buka mulut ada orang yang begitu prihatin tolong jawabkan bagi pihak aku. Siapa lagi kalau bukan Mat sengih itu. Entah dari mana dia datang. Ada saja mamat ini deh! Malas aku nak melayannya. Nanti makin menjadi pula dia.
Mata aku yang sememangnya nakal menyapu bersih seraut wajah kuning langsat di hadapanku ini. Dia yang tidak sedar dirinya diperhatikan sekadar beraksi macho mencari kad pusat sumber milik aku. Aku cuba pula memfokuskan pandangan pada tag nama jejaka yang masih belum diketahui namanya ini.
"Mohd Firdaus bin Mohd Alif." Aidid bersuara lagi tanpa dipinta. Sengihannya makin melebar seakan meraikan kejayaan yang berjaya menghidu perbuatan nakalku tadi.
Jejaka yang bernama Firdaus itu memandang Aidid dengan wajah yang berkerut. Dia kelihatan keliru dengan apa yang berlaku.
Kemudian pandangannya beralih pada diriku. Matanya yang redup seolah-olah cuba menikam jantung hatiku. Perlahan-lahan senyuman terukir di bibir merahnya. Alahai... manisnya senyumanmu itu, Encik Firdaus. Aku terpukau. Ingin rasanya membalas senyuman itu tetapi aku mengambil keputusan untuk berlagak selamba sahaja. Walhal hati ini diamuk gelisah dan rasa indah.
Firdaus kembali meneruskan tugasnya yang tergendali tadi. Di kesempatan itu, aku melemparkan senyuman kelat pada insan yang bertanggungjawab meng'kantoi'kan aku sebentar tadi. Kalau ikutkan hati, mahu saja aku jegilkan mata pada Mat Sengih tu. Tetapi kehadiran Firdaus di situ mematikan niatku. Aku tidak mahu dia terlihat tingkah lakuku yang sedkit kasar. Imej juga perlu dijaga bukan!
Ah! Abaikan mereka berdua. Nanti Aidid ingat aku sudah jatuh hati pada Firdaus. Oh please! Tak kuasa akak tau. Tak pasal-pasal nanti nama aku dijaja satu sekolah. Siapa juga yang akan mendapat malu? Mereka dan keluarga mereka juga.
Aku tidak bisa lama-lama di situ. Setelah selesai urusan pembayaran, aku bergegas pulang ke rumahku yang hanya sepelaung dari sekolah.
Sepanjang perjalanan pulang, aku tidak putus-putus tersenyum seperti orang dilamun cinta. Alangkah malunya jika ada yang melihat aku saat ini. Nanti dibilanganya aku sudah hilang akal. Biarkannlah. Kenapa aku perlu ambil pusing dengan kata orang.
Yang aku pasti kehadiran Firdaus bakal mencetuskan fenomena baru dalam hidup aku. Senyuman lelaki itu bagaikan menari-nari di ruang mata ini. Rasa hangat menyimbah muka aku waktu ini. Aku termalu sendiri kerana terlalu memikirkan tentang dia. Padahal aku baru mengenainya hari ini. Tetapi masa bukan menjadi kayu pengukur sesebuah perhubungan.
Tak sabar nak ke sekolah esok! Jerit hati kecilku. Serentak itu aku melompat keriangan.
2 ulasan:
haha..ses..
ok2..
ko tepuk ayer dlm besen, lepas tu terkene plak kat muke ak..
hhahaha..semoge ko tros damai
hehehehe...
Catat Ulasan