TIP MENULIS
Bahagian Pertama
Menulis dan menjadi penulis bagi saya perlukan kesabaran dan ketabahan (tip pertama saya). Ini yang paling utama dan paling perlu ada pada setiap orang yang bercita-cita mahu menjadi penulis. Ketabahan dan kesabaran ini akan dilalui dalam beberapa peringkat ketika menulis dan selepas tulisan kita sudah sedia diterbitkan (kadangkala kita rasa karya kita boleh diterbitkan tetapi penerbit rasa sebaliknya).
1. Kesabaran dan ketabahan
Dalam proses permulaan menulis, seseorang penulis baru harus sabar dan tabah bagaimana mahu mencari idea untuk menulis. Kadangkala penulis baru menghadapi masalah bagaimana mahu bercerita, mencari bahan cerita atau bagaimana membina plot-plot dalam cerita itu nanti. Di sini kesabaran paling utama kerana proses membina cerita bukanlah proses yang mudah.Proses pertengahan adalah proses yang cukup mencabar kesabaran penulis, ketika cerita sudah dibina. Sedang sedap menulis atau menaip tiba-tiba si penulis kehilangan idea. Apa nak ditulis? Idea terbang melayang, cari tak jumpa-jumpa. Kalau idea dah terputus macam mana nak menulis, kan?Sabarlah… ada cara untuk menanganinya.
2. Selepas menghabiskan karya, mencari tajuk buku pun satu hal
Tetapi perkara ini boleh dibantu oleh penerbit. Kadangkala dalam proses ini membuatkan kita boleh jadi tidak sabar kerana kita tidak suka dengan tajuk yang diberikan oleh penerbit. Sabarlah….
Dan paling penting, seorang penulis baru perlu sabar dan tabah dalam menghasilkan karyanya, tabah ketika mengetahui karya mereka dibakul sampahkan dan sabar apabila mendengar komen daripada editor penerbitan yang mengatakan buku awak ni rubbish!, buku awak ni tak ada nilai!, apa buat cerita macam ni?, atau bermacam-macam lagi.
Bahagian Kedua
Daya Khayal(Imaginasi)dan sifat rasional yang seimbang.
Tip kedua saya, seseorang penulis mesti mempunyai daya khayal (imiginasi) dan sifat rasional yang sama seimbangnya. Seorang penulis memang perlukan daya khayalan bagi merangka dan mencorak segala karektor dan plot dalam sesebuah cerita. Namun di masa yang sama, sifat rasional diperlukan supaya sesuatu cerita itu tidak dicorakkan dengan cara yang keterlaluan. Contohnya:
1.Apabila seorang penulis, melihat sesuatu kejadian atau kemalangan, dengan daya khayal anda yang tinggi sudah tentu anda dapat mereka atau membentuk satu cerita ringkas dalam kepala anda sebab dan akibat kemalangan itu berlaku. Contohnya, sebab kenapa kemalangan itu berlaku mungkin si pemandu leka berSMS sehingga terlanggar lembu yang sedang bercanda dengan kekasihnya (lembu pun ada perasaan juga). Akibat kemalangan tersebut anda boleh reka dengan mengatakan yang jalan raya menjadi sesak selama lima kilometer (walaupun jalan tersebut jarang dilalui oleh orang ramai).
Mangsa kehilangan kakinya dan akibat kehilangan kakinya ia kehilangan kekasih yang sudah tidak mahu pada dirinya lagi. Dengan daya khayal anda sebagai seorang penulis anda boleh pergi lebih jauh lagi dengan rekaan cerita yang lebih menarik dan cantik.
2.Dalam masa yang sama, jangan mereka cerita anda dengan daya khayal yang keterlaluan. Ianya perlu sederhana dan sifat rasional anda diperlukan di sini. Seperti contoh diatas, kemalangan mungkin disebabkan oleh lembu. Tetapi janganlah sampai anda membuat cerita, lembu membantu orang yang kemalangan keluar dari kereta atau lembu bercekak pinggang mentertawakan mangsa. Itu sudah tidak rasional dan mungkin novel anda bertukar menjadi novel lawak pula nanti.
Anda sudah mempunyai sifat tabah dan sabar, daya imiginasi yang tinggi dan sifat rasional yang seimbang? Anda boleh memulakan penulisan dengan satu keazaman. Janganlah anda menulis kerana nama, glamor atau wang ringgit. Tetapi menulislah dengan hati terbuka kerana ingin berkongsi cerita dan ilmu dengan pembaca.Hidupkan komputer anda… kemudian bertekadlah dalam hati. Cerita ini akan habis ditulis dan diterbitkan walau apa pun berlaku.
Anda mahu tip lagi?
Bahagian Ketiga
Kali ini saya mahu membawa pembaca kepada perkara yang perlu difikirkan sebelum seseorang itu memulakan penulisannya.
1. Pemilihan nama
Nama-nama karakter amatlah penting dalam sesebuah buku, supaya nama itu mudah dingati oleh seseorang. Jangan sesekali nama karakter terutamanya hero dan heroinnya sama dalam dua buah buku yang berlainan tajuk. Saya pernah melakukan kesilapan begitu sehingga pembaca jadi keliru.Nama yang sedap didengar dan mengandungi maksud tertentu akan menggembirakan hati pembaca untuk membaca.
2. Karakter hero dan heroin
Manusia dijadikan ALLAH dengan sifat yang tidak lengkap. Mencari manusia yang lengkap lapan puluh peratus pun amat payah di dalam dunia ini. Tetapi di dalam sebuah buku, hero atau heroin selalu digambarkan seorang yang cukup lengkap sifatnya. Baik budi bahasa dan juga fizikalnya. Tidak salah menggambarkan pasangan hero dan heroin yang begitu (saya juga sering melakukannya) tetapi biarlah berpada-pada. Dan perlu diingatkan kedua-dua karakter ini janganlah digambarkan seseorang yang terlalu buruk perangainya sehingga mematikan selera pembaca untuk membacanya
3. Nama lokasi
Nama lokasi juga memainkan peranan yang penting. Kalau boleh gunakanlah nama lokasi yang wujud di alam nyata tetapi kalau penulis mahu menulis nama lokasi rekaan sendiri, biarlah ianya mudah diingati dan senang
Bahagian Keempat
Bagaimana mahu memulakan penulisan?
Tip dibawah adalah perkara biasa yang saya buat sebelum memulakan sesuatu penulisan tetapi terpulang pada pembaca semua sama ada mahu mengikutinya atau tidak.
1.Senaraikan nama-nama watak yang perlu ada di dalam buku yang bakal ditulis. Nama, usia, status, kalau bekerja apa pekerjaannya, kalau belajar di mana dan sebagainya. Ini untuk memudahkan bakal penulis menulis dan membuat rujukan nanti. Ingat nama-nama tersebut supaya anda dapat menyebatikan diri dengan nama-nama itu.
2.Rangkakan cerita yang mahu ditulis secara kasar. Plot dan sub-plot yang perlu ada di dalam cerita tersebut. Ini akan memudahkan anda menulis ketika berada di komputer nanti.
3.Jangkakan berapa bab yang perlu anda tulis dalam cerita anda dan setiap bab kalau boleh jangan melebihi sepuluh muka surat dan tidak kurang daripada lima muka surat.
4. Tuliskan lokasi-lokasi yang perlu ada. Nama-nama jalan sebagainya.
Membiasakan diri dengan lokasi yang anda tulis memudahkan anda ‘bermesra’ dengan tulisan anda.
Catatan boleh dibuat di kertas terlebih dahulu sebelum menulis di komputer. Tetapi saya amat jarang sekali menulis sebarang catatan dikertas kerana tidak mahu membuang masa. Bahkan apa yang saya fikirkan biasanya saya simpan di dalam otak sehingga beberapa hari bahkan beberapa bulan (syukur kepada ALLAH memberi saya ingatan yang sebegini).
Namun perlu ditegaskan di sini tidak salah, mana-mana bakal penulis mahu mencatatkan sesuatu dikertas untuk senang diingati. Terpulang kepada daya kebolehan dan ingatan seseorang.
Nah! Mulakan cerita anda sekarang ini dan berseronoklah…
Bahagian Kelima
Anda semua sudah mempunyai nama-nama watak, tempat, bangunan dan juga cerita yang perlu ada dalam setiap buku anda?
Anda sudah mula menulis, tetapi sayang ketika dalam ghairah menulis, idea anda hilang, cerita anda terbantut di tengah jalan. Apa yang harus anda lakukan?Ada beberapa tip yang boleh diikuti dan moga-moga ianya dapat membantu.
Tinggalkan sahaja komputer dan tulisan anda. Bawa diri bertenang begitu juga dengan fikiran anda. Perhatikan pohon-pohon menghijau atau bayangkan air laut yang berombak tenang. Perlahan-lahan apabila fikiran anda sudah mula tenang, anda boleh berimaginasi sesuka hati anda.
Kalau imaginasi anda mengenai air laut dan pohon hijau tidak dapat membantu anda, bawa-bawalah kaki anda pergi ke tempat yang anda suka.
Macam saya... saya suka ke tempat membeli belah. Seluas mana tempat membeli belah yang terpaksa saya redah pun, jiwa saya akan tenang walau tidak membeli apa-apa. Saya pernah melawat seluas lima juta enam ratus ribu kaki persegi tempat membeli-belah di Zhienjain, China balik ke hotel saya boleh menulis dua puluh muka surat tanpa penat.
Jika ke pusat membeli belah tidak dapat menjalankan otak anda, ada satu lagi cara untuk anda mendapat idea. Pergilah ke kedai buku atau perpustakaan. Beli atau pinjamlah mana-mana buku yang boleh menarik minat anda. Benamkan diri anda di kerusi atau tilam. Membaca dan membacalah... Petua ini sering saya lakukandan alhamdulillah ia sangat membantu.
Kalau itu masih tidak dapat membantu, telefonlah kawan-kawan anda atau berbual dengan adik beradik,bapa atau emak saudara, sepupu atau sesiapa sahaja yang boleh membuat otak anda mula bergerak semula.
Masih lagi tidak boleh berjalan otak anda? Satu ketika dahulu saya selalu duduk melepak di tangga-tangga pusat membeli belah Sogo, melihat kerenah orang ramai yang hilir mudik. Di situ saya mendapat banyak idea untuk menulis...
Kadangkala berchatting di internet dapat juga membantu. Tetapi jangan pula anda terlibat dengan perbualan ‘sampah’ yang tidak mendatangkan faedah. Lebih elok kalau dapat berbual dengan rakan dari luar negara, bertukar fikiran mengenai budaya mereka dan sebagainya (Jangan berbual kosong, mengutuk orang sana sini penghabisan idea masih tak ada, dosa yang dapat.).
Kalau semua yang saya nyatakan tidak dapat membantu, bahkan idea lain pula yang timbul untuk membuat cerita baru. Bagi saya tidak salah kalau anda menulis cerita baru. Simpan cerita lama yang terbantut di tengah jalan itu buat sementara waktu. Bagi diri saya, penulisan tidak boleh dihentikan. Cerita yang terbantut di tengah jalan itu Insya-ALLAH satu masa nanti boleh disambung semula.
Bahagian Keenam
Saya rasa ketika ini sudah ramai yang mula menulis dan mungkin ada yang sudah menyelesaikan sebuah novel. Tahniah diiucapkan. Saya sudah pun memberi beberapa tip menulis untuk diikuti dan harap pembaca berpuas hati dengan apa yang saya berikan. Kali ini saya tidak akan memberi apa-apa tip bagaimana untuk menulis.
Namun saya mahu memberi sedikit nasihat kepada penulis baru yang baru menghasilkan satu dua karya.Jangan sesekali memperendah-rendahkan karya orang lain. Sebagai penulis, setiap detik dan setiap bacaan adalah proses pembelajaran.
Saya sendiri walau sudah banyak menghasilkan karya, masih suka membaca apa sahaja walaupun karya penulis baru. Kita perlu melihat karya orang lain sebagai satu keupayaan yang menakjubkan. Jangan sesekali membuat komen atau menghentam secara peribadi seseorang penulis. Komenlah karya penulis lain dengan cara yang lebih terbuka. Saya pernah mendengar seorang penulis yang baru ketika itu menghasilkan 2 buah novel membuat komen, “Saya menulis kerana saya tahu saya boleh menulis dengan baik, kerana banyak karya orang lain tidak sedap dibaca dan entah apa-apa”.
Saya rasa komen yang dibuat adalah komen yang benar-benar tidak bertanggungjawab.
Jangan malu untuk belajar dan memerhati. Belajar buka sahaja di universiti tetapi di mana-mana sahaja. Televisyen benyak memberi saya ide untuk menulis walau waktu menonton saya begitu terhad sekali. Saya menonton apa sahaja yang saya rasa logik di fikiran saya seperti CSI(New York, Miami, Vegas), drama bersiri ‘Dunia Baru’, Al-Kuliyyah, Midsomer Murder, Travel and Living, English League, Dr. Fadhila Kamsah, bahkan sesekali kalau ada masa, Trek Selebriti, Chit Chat Azwan atau Beat TV juga saya tengok.
Jangan terlalu bangga dengan pujian yang diterima dan melihat kritikan sebagai sesuatu yang melemahkan. Bagi saya pujian untuk memberi dan memulihkan semangat dan tidak pernah mengenepikan kritikan. Walau pahit bagaimana sekali pun sesuatu kritikan itu, saya terima asalkan tidak menyentuh peribadi dan juga keluarga saya.
Itu serba sedikit nasihat yang dapat saya beri kepada penulis muda.
Sentiasa merendah diri, merasakan diri sentiasa kekurangan dalam bidang penulisan dan dapat menerima apa sahaja kritikan, resipi terbaik untuk berjaya.Sekian...
Selamat menikmati keenakan berkarya.
NORHAYATI BERAHIM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan