Ahad, 28 Mac 2010

Hati ini milik puteri... (part 3)

Seminggu jua Duan meresah. Ingatannya tertancap erat kepada Puterinya. Tiada bahasa dapat menggambarkan kerinduannya terhadap Puteri. Oh..tiada gadis secantik Puteri. Baginya Puteri segala-galanya. Bintang di langit rasanya mahu dikutip buat Puteri.

Biar Puteri memaafkan kesalahannya.

Duhai Puteri..di manakah kau berada? Rindu daku ingin jumpa..begitulah batinnya menjerit. Makanan sudah tak terjamah lagi. Segalanya tawar, setawar hatinya. Fikirannya kalut memikirkan permasalahannya dengan Iza..puteri kasihnya.

Iyalah..selama ini dia buta. Buta melihat kejujuran Iza. Selama ini dia terlalu dibayangi prasangka. Cemburunya terbit tanpa bukti. Masakan tidak..Puterinya ayu dan merdu suaranya. Jika sekali-sekala diundang menyanyi di majlis, semua hadirin bagai terbuai dek alunan suaranya. Pekertinya yang lembut bisa mencairkan sekeras-keras jiwa pemuda. Duan membiarkan dirinya tenggelam dalam lamunan.

“Duan..Iza tu banyak peminat. Ada saja mata memandangnya. Kalau kau tak pandai jaga, melepas kat tangan orang..” Berkali-kali dia mendengar nasihat yang hampir sama.

Susah rasanya menjaga Puteri terbilang.

“Iza setia. Dia lain dari yang lain. Dia bak warisan wanita terakhir…”Duan yakin dengan kata-katanya. Tetapi seringkali kata-katanya disambut dengan derai ketawa. Terbakar hati Duan mendengarnya.

“Gadis seayu Iza menjadi rebutan. Dia banyak pilihan laa Duan. Takkan setia kat kau. Bila dah jemu dengan muka kau..hah! Dia akan mencari lain! “Pernah Joe menghamburkan sindiran. Duan terkedu. Dia sedar siapa dirinya. Tetapi jauh di sudut hati, dia tetap percaya Iza jujur menyayanginya.

Sememangnya Iza ramai peminat. Bukan sahaja kecantikannya, tetapi kelembutannya juga menjadi tarikan. Memang sukar mencari gadis sebaik Iza dalam arus zaman sekarang.

Hairan juga dirinya kerana menjadi pilihan Iza. Dia sederhana serba-serbi. Bukan kacak, bukan berharta. Kini, dia cuma berniaga kecil-kecilan. Jika materialistik sikap Puterinya, pasti anak Dato’ Kamal menjadi gilaannya. Sampai sekarang, anak Dato’ itu hanya dapat menggigit jari. Malah si Roy tidak kurang hebatnya. Siang malam terkejarkejarkan Iza. ‘Harley-Davidson’ yang berkilat mahal ditayang-tayang sebagai umpan.

Namun Iza tak melayan. Seingat Duan, tak pernah Iza menerima pelawaan si Roy untuk membonceng motorsikal besarnya keliling kota. Kalau Siti Bulat atau Lela Pelat, sudah lama menjerit suka. Su juga pernah berangan-angan untuk bersiar-siar manja dengan si Roy. Status ‘playboy’ si Roy memang kena.

“Berniaga ini pekerjaan mulia. Sebahagian besar rezeki datangnya dari perniagaan.Jangan malu bermula dari bawah. Jika rajin berusaha, perniagaan akan berkembang dan menjadi maju. “Iza pernah mengulas.

“Tak semua orang kaya dilahirkan kaya. Ramai yang menderita dulu sebelum berjaya.Tetapi mereka berani bermula dari bawah. Akhirnya mereka berjaya mengubah
nasib dari kehidupan melarat kepada mewah..”berkobar-kobar Iza memberikan hujah
sehingga tak tertangkis olehnya. Petang indah itu, memang Iza nampak lebih ayu.

Matanya bersinar-sinar memberi semangat padanya. Kebaya songket bersulam menyerlahkan susuk tubuh Iza yang langsing. Ikutkan hati, mau saja disorokkan Iza dari pandangan mata-mata galak yang gatal memerhati.

Berbekalkan dorongan Iza, Duan tidak gentar untuk memperjudikan nasibnya dalam perniagaan. Biar bermula dari bawah..kata-kata Iza itu dipegang. Terbukti kata-kata itu benar. Perniagaannya mulai berkembang. Rezekinya bertambah murah.

Tetapi dorongan itu tak mungkin diperolehi lagi. Iza sudah membencinya. Semuanya
angkara dirinya sendiri! Duan menyumpah-nyumpah dirinya kerana bertindak melulu.

Dia semakin terkenang…

“Kau tahu..Iza sudah melupakan kau. Aku nampak dia bersama Farouk. Mesra sungguh lagak mereka” Bagai halilintar membelah bumi..Duan terfana. Kata-kata Roy itu meremukkan hatinya. Dia tak percaya..tapi mula diamuk curiga.

“Kau pasti itu Iza??Ah..aku tak percaya. Kau jangan mainkan aku Roy.Iza bukan seperti itu. Aku tahu hati budinya.”Duan berpura tenang walau dihati dirasuk resah.

Roy tersengih, menampakkan giginya yang kurang teratur. “Itulah kau..tengah angau!!Berita gempak ni dah tersebar. Cuma kau ketinggalan.Macam katak bawah tong. Awek sendiri tak tau jaga!”

“Betul cakap Roy tu..Iza dan Farouk sedang bercinta!”Zack menokok tambah.. menghangatkan lagi hati Duan. Akhirnya, cerita yang panjang terjalin. Semakin banyak yang didengar. Kepercayaan Duan semakin memudar…

“Duan, jangan percaya cakap orang tu. Semuanya fitnah. Kalau betul,mana buktinya??”Iza membela diri sewaktu Duan membangkitkan perkara itu. Malah Iza boleh tergelak besar bila pertama kali Duan bertanya tentang hubungannya dengan Farouk.

Duan pula terasa malu seolah-olah pertanyaannya suatu jenaka.

“Aku tak pernah ada hubungan dengan Farouk. Tak wujud sama sekali. Di mana kau dapat cerita ni???”Iza tergelak-gelak. Nampak sangat kelakarnya. Namun, walau apa pun kata Iza,dia mula termakan kata-kata tuduhan liar itu.

Telinganya sudah tidak sanggup lagi disumbat cerita yang menyebakkan dada. Jika sekali dua, mungkin dapat ditahan. Tetapi tembok yang paling utuh pun akan rebah seandainya diserang bertubi-tubi.

Dalam kekalutan dirinya mencari kebenaran, Ina hadir kembali.. Bekas kekasihnya setia mendengar masalahnya. Tanpa bukti, Ina turut mempersalahkan Iza. Bertambah yakin Duan terhadap dakwaan orang.

“Kau dipermainkan Iza. Lebih baik tinggalkan dia. Kalau dia curang, buat apa menunggu lagi? Jangan jadi bodoh, Duan. ” Duan tidak sedar kata-kata Ina sebenarnya mengandungi kebencian dan cemburu. Kebencian terhadap Iza. Dia hampir lupa, Ina juga pernah tidak setia. Itulah punca mereka berpisah dulu. Ina yang meminta perpisahan, kononnya mereka tiada persefahaman. Kini, Ina lain benar sikapnya.

Seolah-olah mencari peluang berbaik semula. Dalam fikirannya yang kusut, Duan tidak ambil peduli lagi niat sebenar Ina. Dia terdesak memerlukan teman bicara.

Kekerapan Duan dan Ina bersama akhirnya disedari Iza. Iza tidak cepat melenting. Malah tidak menaruh syak-wasangka. Biasalah.. Duan terpaksa berhubung dengan ramai orang untuk urusan perniagaannya. Kepercayaannya terhadap Duan menjadi benteng perselisihan. Hal remeh-temeh yang boleh merosakkan hubungan seboleh-bolehnya mahu dielakkan.

Namun kepercayaannya hancur musnah apabila Ina datang menyerang. Tuduhan yang
dilemparkan menghiris hatinya. “Kau cuma layak digelar perampas kekasih orang! Dia mencintai aku. Hatinya milik aku! Gelaran Puteri itu sepatutnya untuk aku. Kau tak layak!” Ina menghamburkan kata-kata pedih.

“Aku yang teratas! Kau cuma yang kedua. Mungkin terbelakang sekali…Pengganti aku saja! Aku tetap puteri hatinya!” Angkuh Ina mengumum. Wajahnya nampak puas dan bangga. Gugur air mata Iza menahan kepedihan.

Rupa-rupanya Duan masih berhubung kasih dengan kekasih lamanya. Selama ini dia hanya sekadar pengganti. Dia Cuma bayangan Ina. Kini Ina muncul semula dalam hidup Duan.. Sudah pasti cinta mereka mekar kembali. Sorotannya, terjadilah tragedi cinta lewat petang itu.

Tiada ulasan: