Ahad, 7 Jun 2009

Syarat sebuah hati untuk dimiliki...

Suatu petang di sebuah rumah....

"Ramai yang datang hari ni. Agaknya tuan rumah jemput ramai orang kot...," kata Ustaz Halim. Orangnya tidaklah terlalu tua dan tidak terlalu muda. Usianya baru mencecah awal 50-an namun tenaga dan semangat yang ada padanya tidak menampakkanya pada usia begitu. Ramai yang beranggapan beliau berusia pertengahan 30-an.

"Saya rasa begitulah ustaz. Meriah betul hari ni. Baru kenduri arwah dah sebegini punya ramai. Kalau kenduri kahwin tak taulah saya betapa ramai yang akan datang. Maklumlah ustaz, orang berniaga nih hari-hari jumpa ramai orang. Tu sebab kenalan ramai." Akmal, 23 tahun, lepasan Universiti Putra Malaysia dalam bidang kejuruteraan kimia. Walaupun baru bergelar graduan, namun Akmal tidak menyombong diri. Dia bergaul dengan semua orang.

"Hmm... Betullah tu.. Bercakap pasal kenduri kahwin ni, kamu tu bila lagi? Jangan lambat sangat, nanti terlajak. Kamu dah ada ehem...ehem.. belum?" tanya Ustaz Halim kepada Akmal menyebabkan Akmal tersentak.

"Ish.. Ustaz nih. Tanya soalan macam tu pula. Malu saya dibuatnya..." Akmal tertunduk malu.

"Sudah tiba masanya untuk anta fikirkan masa depan. Ingat kita semakin tua, bukan semakin muda. Masa darah muda lagi ni lah kita kena rancang betul-betul masa depan. Nanti dah tua, dah tak larat, masa tu dah tak guna lagi. Orang pun dah tak nak... Nak kata tak hensem, anta hensem. Berpelajaran lagi. Cuma kerja saja yang tak tetap lagi. Mana la tahu, lepas kahwin, ada rezeki dapat kerja tetap..." terang Ustaz Halim dengan panjang lebar. Akmal yang dari tadi hanya memandang ke bawah kerana menyembunyikan mukanya yang mula merona kemerahan itu mula mengangkat sedikit mukanya.

"Saya tiada rancangan apa-apa lagi ustaz. Teman istimewa pun tiada lagi. Kawan-kawan biasa tu ramai la... Susah-susah saya serahkan kepada family untuk carikan yang sesuai untuk saya.."

"Anta memilih sangat kot.."

"Takda la ustaz. Semua orang nakkan kesempurnaan. Kalau boleh saya nak cari yang sempurna.." Akmal merenung jauh ke kawasan kebun getah di hadapan tempat duduk mereka.

" Anta cari sempurna yang macam mana? Yang sempurna dari segi pakaian yang seksi-seksi, sempurna yang huha sana huha sini ke?" Ustaz Halim menduga Akmal.

"Ish Ustaz nih. Takkan la itu yang dikategorikan sebagai sempurna... Saya masih ingat lagi satu hadis nabi yang ustaz ajarkan kepada saya semasa saya masih bersekolah lagi. Kan nabi suruh kita pilih wanita itu dari segi agamanya bukan harta, rupa dan keturunan... Kalau boleh saya mahu cinta yang saya dambakan ini akan berkekalan hingga ke syurga. Bukan tersngkut di tengah jalan."

Ustaz Halim tersenyum bangga. Bekas anak muridnya yang telah beliau didik dengan cahaya iman itu sudah pandai menilai dari kaca mata dakwah. Akmal yang petah berkata-kata sebentar tadi kembali menundukkan pandangannya ke tanah. Dikuis-kuisnya tanah itu dengan hujung sepatunya.

"Alhamdulillah... Ustaz doakan semoga anta mendapat jodoh yang baik dan diredhai. Sekarang nih nak cari wanita solehah memang susah. Kira termasuk dalam kumpulan terancam la.. Inilah tanda-tanda akhir zaman. perempuan murahan memang dah ramai sekarang. Tak tahu menjaga kehormatan dan harga diri. Yang paling menyedihkan apabila anak bangsa kita sendiri yang meniru gaya barat dan melenyapkan nilai-nilai murni ketimuran. Anta esok kalau ada rezeki, kahwin, dapat anak, anta didiklah isteri dan anak anta dengan iman dan hidupkan suasana dakwah di dalam rumah. Saling berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran." Ustaz Halim memberikan nasihat yang berguna buat Akmal. Akmal mendengarnya dengan penuh taat.

Ustaz Halim dan Akmal yang sedang rancak berbual pelbagai topik itu kemudiannya dikejutkan dengan salam dari tuan rumah, Pak Mail.

"Assalamualaikum Ustaz. Maaf mengganggu. Saya dah telefon Pak Imam tadi. Dia minta maaf sangat-sangat. Dia tak dapat hadir kerana dia kurang sihat. Jadi boleh tak saya minta tolong ustaz jadi 'kepala' hari ni." Peluh Pak Mail membasahi baju melayu berwarna merah hati lengkap bersampin itu.

"Insyaallah boleh. Bila nak mulakan?"

"Dalam pukul 12 boleh Ustaz?"

Ustaz Halim mengerling ke arah jam tangannya. 'Hmm... Lagi 15 minit lagi'

"Ok. Kejap lagi saya masuk. Nak ambil udara di luar ni sekejap." kata Ustaz Halim.



Selepas Pak Mail beredar, Ustaz Halim memandang ke arah Akmal di sebelahnya yang dari tadi asyik memandang ke arah dapur. Apabila diteliti, rupanya Akmal sedang memandang ke arah seorang wanita yang berjubah dan berpurdah hitam itu. Mata Akmal tidak berkelip langsung.



"Ehemm... Jaga pandangan anta tu. Kerana mata, binasa hati. "



Akmal tersentak. Bayangan Masjid Taj Mahal yang dibinanya lenyap dari bayangannya. "Maafkan saya ustaz. Saya tertarik dengan wanita berpurdah itu. Sungguh sopan santun dan tinggi pekertinya. Kalau boleh saya ingin mencari wanita seperti itu." kata Akmal tanpa berselindung. Itulah kelebihan iman. Walaupun kecantikan wajah seorang wanita ditutupi dari pandangan liar mata lelaki yang bukan hak, namun tetap terserlah kecantikan akhlak dan peribadi sebagai seorang muslimah solehah. Akmal teringatkan salah satu ciri ceramah Ustaz Halim yang pernah diikutinya dahulu.



"Barat menganggap Islam mengongkong kebebasan wanita dalam kehidupan seharian. Sebenarnya Islam itu hadir untuk memudahkan. Bukan untuk menyusahkan." terang Ustaz Halim dengan penuh yakin. Secara kebetulan, ceramah itu turut dihadiri oleh seorang wanita bukan Islam. Dia mengangkat tangan lantas bertanya;

"Tuan, Jika Islam memberi kebebasan kepada golongan wanita, mengapa Islam menyuruh penganut wanitanya memakai jubah dan berpurdah? Bukankah itu mengekang dan membatasi pergerakan wanita itu sendiri?" suasana di dalam dewan serbaguna itu menjadi bising seketika. Dalam keadaan yang tenang, Ustaz Halim cuba menjelaskan kepada mereka.

"Tenang semua. Saya menjemputnya ke mari dan biarkan dia bertanya. Begini puan. Saya ada 2 helai kain sutera yang sangat bermutu tinggi. Satu saya lipat kemas-kemas dan saya letakkan di dalam sebuah kotak yang sangat cantik. Kotak itu pula dibalut dengan kemas dengan kertas pembalut manakala yang satu lagi saya letakkan di luar begitu sahaja dan sesiapa sahaja boleh melihat dan memegangnya. Katakanlah saya ingin menghadiahkan puan salah satu dari kain tersebut. Puan pilih yang mana?" soal Ustaz Halim kepada wanita bukan Islam itu.

"Sudah tentu saya ingin yang dalam kotak itu. Kualitinya terjamin dari yang diletakkan di luar." balas perempuan itu.

"Nah, puan sudah memberikan jawapan kepada soalan puan tadi. Jubah dan purdah bukan untuk mengongkong, tetapi memelihara golongan wanita dari pandangan liar mata lelaki." Semua yang hadir semasa ceramah itu memuji kebijaksanaan Ustaz Halim menjawab soalan wanita bukan Islam itu.

"Anta tertarik dengan perempuan itu ke? Anta jumpalah keluarganya atau orang yang rapat dengannya. Suarakan hasrat hati anta. Yang penting anta ikhlas ingin memilikinya. Ana juga boleh bantu anta."

"Ish Ustaz nih. Saya belum bersedia lagilah. Ustaz kenal ke dengan perempuan itu?" tanya Akmal dengan penuh minat.

"Saya kenal sangat. Baik budak tu. Masih belajar di al-Azhar. Umur pun lebih kurang anta juga." Ustaz Halim membuka jalan.

"Hmm... Alangkah Bagusnya dapat berkenalan dengannya. Kalau ada jodoh, mudah-mudahan harmoni rumah tangga."

"Tak payah berkenalan. Kahwin je dulu. Lepas kahwin baru la berkenalan. Bercinta bak kata istilah orang zaman sekarang. Sebalum kahwin berkenalan ala kadar sudahla... Nanti dah kahwin tak ada modal nak bawak bersembang." kata Ustaz Halim sambil menepuk bahu Akmal.

"Siapa dia tu Ustaz? Ustaz kata ustaz kenal."

"Hmm... Namanya Siti Fatimah bt Abdul Halim. Dia..."

Belum sempat Ustaz Halim menghabiskan kata-katanya Akmal terus mencelah.

"Hah!!! Fatimah belon anak bongsu ustaz? Dia..." Akmal seakan terkejut. Masih segar dalam ingatannya Siti Fatimah yang dahulunya selalu diejek kerana saiz badannya itu adalah wanita yang disebalik purdah itu.

"Kenapa? Dulu saya suruh dia ikut pak ciknya ke madinah. Adik saya tu mengajar di sana."

"Lama sungguh tak jumpa dia. Dulu masa budak-budak selalu buli dia. Selalu kena marah dengan ustaz. Hmm.. Tak sangka, ingat lagi dia pada bumi Malaysia. Kalau macam tu cerahlah peluang saya kan ustaz?" tanya Akmal dengan senyuman yang melebar. Mata Ustaz Halim itu direnungnya dalam.

"Boleh, dia balik inipun sebab ada orang merisik dia tapi tak jadi. Jadi dia masih belum dipunyai oleh sesiapa lagi"

"Kenapa tak jadi?"

"Mereka tak sanggup menerima syarat yang saya berikan. Kalau anta nak, anta pun kena menerima syarat yang sama juga. Kalau sanggup dan lulus diuji, Siti Fatimah tu anta boleh miliki. Insyaallah..."

"Apa syaratnya ustaz? Manalah tahu saya boleh buat,"

"Tak susah. Hafal satu al-Quran saja. Itu syaratnya. Siti Fatimah sendiri yang meletakkan syarat tersebut."

'Gulp.. Alamak, mampus aku' Akmal bermonolog sendirian.

"Mmm... Kalau macam tu kena tunggu dulu la ustaz. Sekarang nih belum mampu lagi."

"Hmm... Saya dah agak dah. Dah jom masuk. Dah nak pukul 12 dah."

Mereka berdua masuk ke dalam rumah untuk memulakan tahlil. Apa yang pasti kata-kata Ustaz Halim itu amat terkesan dalam jiwa Akmal...

Sekian

`psas 1235`

3 ulasan:

Unknown berkata...

hee~
seronok2..
best la cite nih cikgu ^^,
smpai situ je ke ending die??

Orangekidz berkata...

hm... sape nih? stakat nh situ je endingnya. nnti kalau ada masa bisa disambung lagi...

Unknown berkata...

hahaa saye ank murid cikgu =p
sambung la lg cikgu..saye xde bahan bacaan nk bace skang nih