Rabu, 27 Ogos 2008

PEMILIHAN PASANGAN HIDUP PENENTU GENERASI CEMERLANG

Perkahwinan adalah satu tuntutan dalam Islam. Antara perkara penting sebelum memasuki alam perkahwinan ialah hal berkaitan dengan pemilihan jodoh kerana dari sinilah bermulanya masa hadapan rumahtangga yang dibina. Sekiranya rumahtangga tadi dibangunkan dengan keimanan, ketakwaan, kasih sayang dan dengan penuh amanah maka ia menjadi pemangkin kepada kewujudan generasi yang baik dan cemerlang.

Islam telah menyediakan garis panduan yang lengkap untuk bakal-bakal suami dan isteri di dalam memilih pasangan hidup. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:

"عَنِ النَّبِيِّ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ‏ ‏تُنْكَحُ الْمَرْأَةُ ِلأََرْبَعٍ لِمَالِهَا وَلِحَسَبِهَا وَلِجَمَالِهَا وَلِدِينِهَا فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ ‏ ‏تَرِبَتْ يَدَاكَ ".

(Hadis Riwayat Muslim)

Bermaksud: “Daripada Nabi SAW, Baginda bersabda: Dikahwini wanita kerana empat perkara, iaitu kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Oleh itu utamakanlah wanita yang beragama nescaya kamu akan beruntung.”

Apa yang dapat sama-sama kita fahami dari maksud hadis ini, iaitu ciri-ciri yang paling baik dalam memilih jodoh ialah mereka yang berpengetahuan dan beramal dengan ajaran agama.

Pemilihan pasangan hidup tidak boleh dipandang ringan. Islam sangat menekankan isu ini disebabkan kesannya di dalam kehidupan bermasyarakat dan keharmonian negara adalah amat besar kerana jika isu ini sampai ke tahap pergaduhan atau perceraian antara suami isteri ia boleh mengakibatkan nasib anak-anak terumbang ambing. Jika demikian, bagaimanakah generasi masa depan yang cemerlang itu dapat dihasilkan? sudah tentu apa yang diharapkan ibarat bermimpi di siang hari semata-mata.
Tanggungjawab membentuk keluarga yang bahagia dan melahirkan generasi cemerlang amatlah berat. Justeru, keteguhan pegangan agama suami isteri perlu dipertingkatkan agar kita lebih bersedia menghadapi ujian dan cabaran. Firman Allah SWT di dalam surah al-Anfal ayat 28:

Maksudnya: “Ketahuilah bahawa harta benda dan anak pinak kamu itu merupakan satu ujian. Dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.”

Sehubungan dengan itu, sebagai ibu bapa, marilah sama-sama kita tanamkan asas agama yang kukuh ke dalam jiwa anak-anak sejak dari kecil lagi. Berikan mereka bimbingan dan panduan tepat tentang kehidupan berkeluarga agar anak-anak tahu dan faham tentang adab pergaulan sesama manusia yang berlainan jantina, mengawal dan mengurus perasaan cinta kepada orang lain serta batas-batas yang sesuai dengan ajaran agama dan adat budaya tempatan. Mana mungkin kehidupan rumahtangga yang bercampur ketaatan dengan maksiat dapat mewujudkan generasi yang cemerlang dan sejahtera. Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah Hadis daripada Abu Hurairah RA:

‏قَالَ النَّبِيُّ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ كَمَثَلِ الْبَهِيمَةِ تُنْتَجُ الْبَهِيمَةَ هَلْ تَرَى فِيهَا‏ ‏جَدْعَاءَ. ‏

Bermaksud: “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah iaitu suci bersih. kedua ibu bapanyalah yang membuatnya menjadi yahudi, nasrani atau majusi. Sebagaimana seekor ternakan yang melahirkan anaknya (dengan sempurna kejadian dan anggotanya), adakah kamu menganggap hidung, telinga dan lain-lain anggotanya terpotong.”

Hadis ini menjelaskan kepada kita bahawa ibu bapalah yang mencorak keperibadian anak-anak. Lihat apa kata bapa Anas Bin Malik RA ketika ditanya bagaimanakah beliau mendidik anaknya sehingga menjadi seorang ulama besar. Beliau menjawab : “Ia bergantung kepada cara memilih calon ibunya”. Dengan kata lain, pemilihan calon pasangan hidup yang tepat daripada perspektif Islam adalah satu detik permulaan yang penting dalam menentukan hala tuju sesebuah rumahtangga dan keluarga yang hendak dibina.


Sesungguhnya anak-anak hari ini bakal membentuk rumahtangga di masa hadapan. Maka minbar yang mulia ini menyeru, marilah kita memastikan anak-anak kita kukuh pegangan akidahnya, mulia akhlaknya dan istiqamah dalam ibadahnya, itulah yang dikatakan insan yang terpancar pada dirinya nilai-nilai penghayatan agama yang kuat dan teguh. Apabila ini dapat dilaksanakan, InsyaAllah sebarang bentuk ancaman dapat dihadapi dan tidak mudah terperangkap dengan gerakan atau dakyah yang menyeleweng lebih-lebih lagi oleh ajaran-ajaran yang telah difatwakan sesat oleh pihak berkuasa agama.

Firman Allah SWT di dalam surah an-Nur ayat 26:

Maksudnya: “(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka itu bersih dari tuduhan buruk yang dikatakan oleh orang yang jahat; mereka itu akan beroleh pengampunan dan pengurniaan yang mulia.”

(sedutan khutbah Jumaat 180408)

Tiada ulasan: