Selasa, 20 Oktober 2009

Apakah itu RON?

Apa itu RON? RON adalah singkatan kepada Research Octane Number yang merupakan kadar untuk menyukat ketahanan terhadap ‘ketukan’ (knocking) sesuatu minyak petrol di dalam enjin. Manakala Petrol RON95 adalah merujuk kepada campuran 95% iso-oktana dan 5% heptana.

Mulai 1 September 2009 Kerajaan mula memperkenalkan petrol RON95 di seluruh negara. Pada masa yang sama petrol RON92 akan dikeluarkan daripada pasaran memandangkan penggunaan RON92 adalah kecil iaitu sekitar 5% sahaja dari jumlah keseluruhan penjualan petrol di negara ini. Justeru itu, Kerajaan mengambil langkah memperkenalkan RON95 bagi memastikan pengguna mendapat faedah langsung produk petroleum yang lebih berkualiti pada harga yang disubsidi. Pada masa sama, ianya juga merupakan salah satu usaha Kerajaan dalam mengurus sumber tenaga negara bagi menggalakkan penggunaan sumber tenaga yang cekap dan mengurangkan tanggungan subsidi ke atas produk petrol. Walau bagaimanapun, petrol RON97 masih dikekalkan dalam pasaran sebagai produk premium memandangkan ada kenderaan yang memerlukan nilai RON minimum 97 terutamanya kenderaan-kenderaan yang berkuasa tinggi.

Selain itu, petrol RON95 adalah bahan bakar yang mematuhi spesifikasi EURO2M dimana ianya dapat mengurangkan pencemaran yang berpunca daripada pengeluaran asap kenderaan. Spesifikasi EURO2M adalah merupakan standard baru bagi petrol dan diesel yang akan digunapakai mulai 1 September 2009 selaras dengan penggunaan RON 95 di seluruh negara. Penggunaan EURO2M akan mengurangkan kandungan sulfur dalam petrol dan diesel dari 3,000 parts per million (ppm) kepada 500 ppm yang akan mengurangkan pelepasan asap kenderaan di udara. Keadaan ini sudah tentu dapat menyumbang kepada kualiti udara yang lebih baik. Sejak pengumuman pelaksanaan RON95, pelbagai pihak tampil memberi pandangan berkenaan kesesuaian langkah Kerajaan memperkenalkan RON95.

Tidak dinafikan masih ramai rakyat Malaysia yang masih mempunyai persepsi bahawa produk ini boleh memberi kesan negatif terhadap prestasi enjin kenderaan mereka. Sebelum keputusan untuk memperkenalkan RON95 dilaksanakan, beberapa siri perbincangan dengan pelbagai pihak yang terlibat telah diadakan bagi mendapat maklum balas impak penggunaan RON95 dari pelbagai sudut. Semua pihak yang berkenaan memberi reaksi yang positif dengan pelaksanaan RON95 memandangkan ianya sesuai bagi kebanyakan enjin kenderaan dan boleh menyumbang kepada kualiti udara yang lebih bersih. Pengguna boleh merujuk buku panduan kenderaan atau pengeluar enjin kenderaan bagi memastikan tahap minimum RON yang diperlukan.

Kebanyakan enjin kenderaan ketika ini menggunakan teknologi yang direkabentuk sesuai dengan penggunaan petrol RON95. Dengan menggunakan petrol yang mempunyai nilai RON minimum yang bersesuaian dengan keperluan kenderaan sepertimana yang disyorkan oleh pengeluar enjin kenderaan akan memastikan pembakaran berlaku tepat pada masanya lantas mengelakkan berlakunya fenomena ketukan enjin. Oleh yang demikian, sekiranya enjin kenderaan cukup sekadar dengan pembakaran RON95, penggunaan RON yang lebih tinggi tidak akan memberi kesan kepada keupayaan enjin secara optimum. Negara-negara pengeluar kenderaan utama dunia seperti Jepun, Eropah dan Amerika Syarikat juga menggunakan petrol RON95. Di Eropah, penggunaan petrol RON95 adalah lebih 80% daripada keseluruhan penggunaan petrol yang merupakan bahan bakar utama kenderaan.

Kerajaan dengan kerjasama syarikat-syarikat minyak telah mula memperkenalkan penjualan petrol RON95 di beberapa stesen minyak terpilih di sekitar kawasan Lembah Klang dan Putrajaya mulai 12 Mei 2009. Statistik menunjukkan 80% pengguna telah bertukar menggunakan petrol RON95 berbanding RON97 di stesen-stesen yang terlibat. Selain itu, sehingga kini tiada rungutan atau aduan mengenai prestasi enjin kenderaan akibat daripada penggunaan petrol RON95. Ini menunjukkan kesesuaian produk tersebut kepada enjin kenderaan yang menggunakannya. Sehingga kini sebanyak 1,445 buah stesen minyak di seluruh negara telah menjual petrol RON 95 dan akan dilaksanakan sepenuhnya mulai 1 September 2009.

Di samping itu, harga runcit petrol dan diesel masih mengekalkan kaedah Automatic Pricing Mechanism (APM) dimana kedudukan harga purata kos produk bulanan bagi petrol dan diesel akan menentukan kadar subsidi pada bulan tersebut. Panduan penetapan harga RON95 adalah berdasarkan Mekanisme Penetapan Harga Runcit Petrol RON95 seperti yang ditunjukkan di dalam Rajah 1. Melalui mekanisme ini, harga asas petrol RON95 ditetapkan pada paras RM1.75 seliter. Harga ini akan kekal sekiranya purata kos produk berada di antara USD37.38 setong dan USD76.52 setong. Pada paras harga purata USD76.52 setong, Kerajaan akan memberi subsidi sebanyak 30 sen seliter bagi setiap liter yang dibeli oleh pengguna. Apabila purata kos produk meningkat melebihi USD76.52 setong, harga runcit akan dinaikkan dimana Kerajaan masih mengekalkan subsidi sebanyak 30 sen seliter sehingga mencapai harga siling iaitu RM2.70 sen seliter.

Pada paras harga siling tersebut, Kerajaan akan memberi subsidi melebihi 30 sen seliter apabila purata kos produk meningkat melebihi USD118.48 setong. Memandangkan harga kos produk adalah mengikut harga pasaran dunia dan sentiasa berubah-ubah, pengguna akan menikmati penurunan harga runcit petrol apabila purata kos produk menurun. Kerajaan akan menetapkan harga runcit petrol RON95 lebih rendah apabila purata kos produk berada di bawah USD37.38 setong. Kedudukan semasa purata kos produk bagi RON95 adalah USD82.37 setong iaitu peningkatan sebanyak 102% berbanding USD40.75 pada bulan Disember 2008. Kesimpulannya, pelaksanaan RON95 yang mematuhi spesifikasi EURO2M akan membolehkan pengguna masih menikmati produk petrol yang bersubsidi dan membantu mengurangkan kadar pencemaran alam sekitar. Di samping itu, Kerajaan dapat mengurus dan menggunakan sumber tenaga yang cekap serta mengurangkan tanggungan subsidi.

2 ulasan:

Tank Key berkata...

kat stesen petronas UPM serdang takde pon RON97...

Fær.han/Unown F/Gyan berkata...

Btol2~ Aku kena g carik shell kowt baru dpt...huhu yg sedey, ada yg x tanggalkan stiker Ron97 padahal xde...kecewa =p