Isnin, 30 November 2009

Berilah peluang aku hidup...

Dunia ini pernah dicemarkan oleh sejarah hitam dalam tamadun manusia disebabkan ketiadaan aqidah dalam kehidupan. Masyarakat ketika itu hilang sifat kemanusiaan sehingga sanggup membunuh dengan menanam anak-anak terutama anak-anak perempuan hidup-hidup kononnya mempertahankan maruah diri, keluarga dan kabilah. Amalan jahiliyah tersebut kini berulang lagi malah lebih dahsyat di mana sesetengah bayi dibuang di merata-rata tempat kerana malu kepada masyarakat. Tempat-tempat pembuangan ialah di belakang rumah, di tepi jalan, di tepi hospital, di masjid, di tepi sungai, dikedai, ditempat pembuangan sampah, dihentian bas, ditandas dan lain-lain lagi.


Menurut statistik daripada pihak berkuasa di dapati jenayah membuang bayi terus meningkat dari tahun ketahun. Umpamanya pada tahun 2007 sebanyak 76 kes berbanding 62 kes pada 2006 di seluruh negara. Sepanjang tempoh 2004 sehingga 2007 sebanyak 252 kes telah direkodkan dan seramai 61 bayi mengalami kematian.


Perkara yang serius ini bermula dengan perbuatan zina yang dilalukan di luar akad. Bukankah perbuatan zina dan tindakan membuang bayi adalah merupakan perbuatan jenayah yang amat besar dosanya serta berat hukumannya di sisi Islam. Firman Allah SWT di dalam surah Al-Isra’ ayat 32:


" Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat." .


Manakala firman Allah SWT di dalam surah An-Nisa' ayat 93 pula ialah:


" Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal dia di dalamnya dan Allah murka kepadanya dan melaknatkannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar " .


Mengikut kajian terdapat beberapa faktor menyebabkan berlakunya jenayah ini. Faktor terbesar ialah keterlanjuran dalam menjalin hubungan percintaan, pergaulan dan amalan seks bebas sebelum adanya ikatan perkahwinan yang sah mengikut hukum syarak, institusi keluarga yang bermasalah tiada persefahaman, bergaduh atau bercerai. Oleh itu setiap ibubapa perlu sedar bahawa masa hadapan anak-anak terletak kepada suasana tarbiyah dalam rumahtangga yang mereka bina. Jika suasana keimanan, keharmonian dan kasih sayang, nescaya Allah SWT akan mengurniakan kebahagiaan di dunia dan dia khirat.


Selain itu, faktor dalaman diri remaja juga merupakan punca kepada gejala ini. Kurang fahaman agama dan akhlak yang luhur menyebabkan mereka dikuasai oleh nafsu jahat sehingga berlakunya zina dan menyebabkan lahirnya anak luar nikah yang akhirnya dibuang kerana takut dan malu kepada keluarga serta masyarakat.


Penayangan filem berunsur seks oleh media elektronik, VCD lucah serta gambar pornografi di dalam internet juga menjadi punca yang turut merangsang para remaja terjebak ke lembah perzinaan yang membawa kepada lahirnya anak luar nikah di samping berleluasanya program-program hiburan yang melampau dalam masyarakat. Berhibur tidak salah. Tapi perlu ada batasannya. Jangan kerana dengan menggunakan alasan untuk mendidik masyarakat, aktiviti-aktiviti kurang sihat perlu ditonjolkan di televesyen dengan harapan ia mampu menyedarkan masyarakat. Sebagai contoh hari ini kebanyakan filem dan drama mewajibkan adegan 'panas' dengan menyatakan ianya adalah realiti dan penonton boleh mengambil iktibar. Masalahnya, bukan semua penonton itu dewasa dan mampu untuk memikirkan baik buruk. Kanak-kanak dan remaja, perasaan ingin tahu itu sangat kuat di dalam diri mereka. Maka, apa yang dilihatnya di kaca tv akan terkesan terhadap tingkah laku mereka di kemudian hari.


Perbuatan membuang bayi dimerata tempat dan terdedah kepada berbagai risiko termasuk kematian; di samping ada di antaranya menjadi mangsa binatang buas adalah satu jenayah yang amat zalim dan keji serta lebih hina tarafnya daripada haiwan. Malah haiwan lebih baik kerana mengasihani dan memelihara anak dan sanggup mati demi keselamatan anak-anak. Inilah implikasinya apabila rohani para remaja tidak di isi dengan ajaran agama. Renungilah amaran Allah SWT di dalam surah Al-A'raf ayat 179:


" Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi) neraka jahanam kebanyakkan dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi ) tidak mahu memahami dengannya dan mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya dan mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya; mereka itu seperti binatang ternak bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai " .




" Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik serta melarang daripada segala yang salah. Dan mereka yang demikian ialah orang yang berjaya "



Tiada ulasan: