Rabu, 25 Februari 2009

Kes 1

Seperti yang telah dijanjikan, aku akan cuba untuk berkongsi pengalaman aku sebagai salah seorang kaunselor tak berdaftar. hahahaha...

Kisah ini berlaku beberapa tahun lalu. Ali(semestinya bukan nama sebenar) merupakan salah seorang pelajar sekolah menengah yang terletak di kawasan luar bandar. Beliau membesar seperti remaja lain. Penuh dengan kasih sayang dan perhatian dari keluarga. Keluarganya bukanlah dari kalangan orang yang berada namun kehidupannya sebagai soerang remaja amat bermakna baginya.

Sebagai seorang remaja yang meningkat dewasa, Ali juga berkeinginan untuk memiliki teman wanita seperti rakan2nya yang lain. tambahan pula ramai yang menyindirnya. Memang tidak dapat dinafikan Ali mempunyai rupa paras yang tampan malah mempunyai personaliti yang menarik juga. Disebabkan atas desakan dan ejekan daripada rakan-rakan, suatu hari Ali menyahut jua cabaran rakannya itu. Ali ingin menunjukkan kepada kawan-kawannya yang dia juga mampu untuk memiliki teman wanita.

Nasib Ali sangat baik. Selang beberapa hari sahaja dia sudah mempunyai seorang teman wanita yang dikenalinya melalui ruang sembang (chatting). Namun begitu, Ali seakan tidak puas dengan pencapaiannya itu. Dia merasakan bahawa dengan rupa parasnya, dia sepatutnya dikelilingi oleh ramai wanita-wanita cantik. Pada ketika itu barulah dia akan berlagak di depan kawan-kawan yang selalu mengejeknya itu.

Dek kerana asyik di dalam dunianya, Ali tak sedar kini dia telah mempunyai hampir 12 orang teman wanita dalam satu masa. Niat hati pada mulanya ingin menunjuk-nunjuk kepada kawan-kawan telah bertukar menjadi padah kepada dirinya. Ianya bermula gara-gara dia tersalah telefon. Dia hendak menelefon teman wanitanya yang di Perlis tetapi tertelefon teman wanitanya di Selangor. Teman wanitanya yang di Selangor itu pada mulanya menyangka Ali ingin bergurau dengannya tetapi nyata ayat Ali agak berbeza dengan sebelum ini ditambah pula dengan nama panggilan yagn salah.

Malang sungguh Ali. Dirasakan hanya 2 orang teman wanitanya sahaja yang tahu tentang perbuatannya itu tetapi ternyata tembelangnya sudah pecah. Boleh dikatakan hampir separuh daripada teman wanitanya yang selama ini ada yang menanggung diriya telah mula ingin mendapatkan kata putus dan membuat pelbagai ancaman kepadanya.

Ali mula merasa takut dan menjadi fobia apabila mendengar telefonnya berbunyi. Setiap kali ada panggilan masuk atau ada SMS, dia akan meminta rakan-rakannya yang menjawab telefon tersebut. Proses ini terus berlaku sehingga hampir 2 bulan lamanya. Semakin hari Ali berasa amat tertekan. Dia tidak tahu bagaimana ingin lari dari masalah tersebut. fikirannya kini betul-betul terganggu.

Suatu hari, keserabutan fikiran Ali telah sampai ke kemuncaknya. Dia merasakan masalah yang dihadapinya tidak dapat diselesaikan. Dia mula merasa menyesal kerana tidak berfikir panjang ketika ingin menerima cabaran daripada rakannya dulu. Jalan mudah yang difikirkannya sekarang ialah dia harus lari dari masalah yang membelenggu dirinya itu. Ada kalanya dia terasa ingin menamatkan sahaja riwayat hidupnya dengan menerjun sungai ataupun jatuh dari bangunan yang tinggi. Dirinya amat tertekan sekarang.

Oleh kerana tekanannya dirinya seperti tiada jalan penyelesaiannya, dia pun mengambil keputusan keluar berjalan-jalan menghirup udara segar sambil melihat pemandangan. Mungkin ia dapat mengurangkan tekanan dirinya tak pun mungkin untuk kali yang terakhir sebelum dirinya menghembuskan nafas yang terakhir. Ya.. Mungkin...

Suatu ketika sedang dia berjalan seorang diri, dia terdengar suatu suara yang selama ini dia tidak pernah mengambil kisah mengenainya. Suara yang menyeru kepada kebaikan, kejayaan dan ketuhanan. Dengan berat kakinya melangkah ke arah datangnya suara itu. Dengan takdir Allah, dia bertemu dengan seorang pemuda yang sedang membentang sejadah untuk solat asar. Ali merasakan bahawa pemuda itu mungkin boleh membantunya. Setelah selesai bersembahyang jemaah bersama, Ali pun mencuit bahu pemuda itu lantas mereka berkenal-kenalan.

Petang itu Ali pulang ke rumah dengan hati yang agak riang. Dia dapat merasakan sinar terang mula menyinari hidupnya kembali. Dia amat berterima kasih kepada pemuda yang sebelum ini langsung tidak dikenalinya itu. Dia berasa lega apabila dapat menceritakan masalahnya kepada pemuda tersebut dan disusuli pula dengan beberapa nasihat yang berguna dari pemuda itu. Pemuda itu juga amat berharap agar Ali dapat kembali ceria seperti sedia kala... Mudah-mudahan...


Moral : Kehidupan di dunia memang sangat manis. Namun kita perlu ingar ada kehidupan lain yang kekal dan lagi hebat dari apa yang ada di dunia ini. Di dalam kes ini, Ali telah termakan cabaran rakannya itu sehingga menyebabkan diri Ali sendiri mengalami masalah yang sangat besar. Alhamdulillah, selepas beberapa bulan Ali menghubungi pemuda itu dan mengucapkan syukur kerana masalah yang membelenggu dirinya selama ini telah selesai.

Menurut Ali, selepas dari pertemuan itu, dia terus memutuskan hubungan dengan semua teman wanitanya. Apabila ditanya kenapa lalu Ali menjawab, cinta itu sangat istimewa. Cinta itu terletak di celah-celah perkahwinan. Andainya cinta itu tidak berlandaskan perkahwinan, maka keistimewaan itu tidak akan terasa. Namun apabila cinta itu berlandaskan perkahwinan, ianya kekal selamanya....

Alhamdulillah, Ali kini sedang melanjutkan pelajarannya ke salah sebuah IPTA terkemuka di semenanjung Malaysia.

p/s: Cerita ini adalah cerita benar yang telah diolah untuk tatapan pembaca namun dari segi maksudnya tidak berubah. Nama pada watak di dalam cerita tersebut hanyalah rekaan semata-mata dan tiada kena-mengena dengan sesiapa. Jikalau ada yang terasa berjuta maaf kupinta..

Tiada ulasan: